BAB 4 - PERCUBAAN PERTAMA

Perasaannya berbelah bahagi antara teruja, ragu-ragu, dengan gementar. Akal logiknya berpendapat bahawa keupayaan keris seperti yang digambarkan di dalam mimpi itu belum tentu benar. Namun, kejadian mimpi yang berulang selama tiga hari berturut-turut itu sedikit sebanyak menjadi petunjuk kukuh tentang kaitannya dengan keris yang dibelinya. Pembelian yang tidak dirancang, kawasan terbiar tempat keris itu dibeli, harga yang tidak masuk akal, enam pesanan daripada mimpi, serta kejadian malam tadi menguatkan lagi andaiannya bahawa keris tersebut menyimpan rahsia besar.

Apakah ini sekadar mainan perasaan? Atau mungkinkah aku telah diganggu jin? Ah, lupakan tentang gangguan! Apa pun, uji dulu baru tahu.

Dia membaca semula semua catatan yang telah ditulisnya.

Sekarang, semuanya nampak masuk akal.

Buku itu telah pun penuh dengan contengan dakwat hitam dan garis merah di sana sini sehingga catatan asal semakin sukar dibaca.

Aku perlu tulis semula dengan jelas!

Dia membuka muka surat yang baharu lalu mula menulis dengan laju.

6 November (8.15 pagi) - TEORI AWAL: 

Dengan keyakinan yang tinggi, keris ini bukan sekadar barang antik. Ia mempunyai suatu kuasa misteri yang perlu dirungkai. Kemungkinan besar keris ini mampu membawa aku mengembara merentasi ruang dan masa. Keyakinan ini berdasarkan kejadian di akhir mimpi semalam—foto, batu hijau, dan batu merah mungkin merupakan manual penggunaannya. 'Engkau sudah hampir sedia' pada ayat terakhir lembaga itu boleh ditafsirkan bahawa keris ini sudah sedia untuk digunakan.

Senarai semak sebelum ujian dijalankan;

  1. Perlu ada gambar lokasi (berdasarkan mimpi 6 November). Merujuk catatan PLH keempat: ‘lengkapkan dada dengan suluh hikmat’. Gambar itu juga boleh ditafsirkan sebagai pemahaman yang baik tentang lokasi yang hendak dituju.

  2. Perlu sentiasa menjaga adab. Rujuk PLH kelima: ‘pasakkan santun’.

  3. PLH keenam: Jaga nafsu, jangan sampai ia mengemudi diri. Ia masih terlalu umum, mungkin penjelasan lain akan datang kemudian.

  4. Gunakan batu berwarna hijau untuk masuk.

  5. Gunakan batu berwarna merah untuk keluar.

  6. Selesai.

PLH ketiga inilah kunci sebenar keris ini: 'Lepaskan tapakmu menjejak ke mana jua'. Gunakan keris untuk mengembara.

Bagaimana pula dengan batu kuning dan hitam? Apakah fungsinya? Anggaplah pengetahuan itu akan muncul kemudian. Jika mengikut perjalanan mimpi, ketinggian lembaga yang berubah-ubah itu mungkin membawa maksud kefahaman yang hadir sedikit demi sedikit. Buat masa ini, semuanya jelas.

— Megat

Dia menutup pennya dan mula memikirkan lokasi untuk menguji teorinya itu. Lokasi yang dipilih mestilah jelas dan dapat diterima akal logiknya. Muncul satu persoalan di benaknya.

Adakah aku perlu tahu tahun atau tarikh yang spesifik tentang lokasi itu? Atau sekadar gambar lokasi semata-mata?

Tidak perlu berfikir panjang tentang hal ini, segalanya boleh diuji. Lokasi pertama yang terlintas di fikirannya ialah piramid. Mungkin itu sahaja lokasi yang paling mudah terbayang olehnya. Walaupun tempat tersebut sering dilihatnya dalam filem atau gambar, dia langsung tidak pernah menjejakkan kakinya di sana. Maka, suasana yang asing itu pasti dapat memaksa akal logiknya untuk menerima kebenaran pengalaman tersebut.

Dia menghidupkan komputer ribanya, mula mencari gambar-gambar piramid Mesir di internet dan menggali serba sedikit sejarahnya.

Mimpi tu cuma tunjuk gambar, sentuh batu hijau, lepas tu batu merah. Tapi PLH kata kena ada pemahaman. Adakah aku sekadar lihat dan sentuh batu hijau, atau aku kena buat kajian lengkap tentang lokasi sekali dengan gambar? Apakah maksud pemahaman—adakah ia sesuatu yang perlu ditulis atau sekadar apa yang aku faham di fikiran?

Persoalan itu sedikit sebanyak mengganggu tumpuannya. Setelah meneliti beberapa hasil carian, dia menemui sekeping gambar ringkas yang memaparkan kompleks Piramid Giza di bawah langit biru tanpa awan. Di dalam gambar itu kelihatan dua orang penggembala sedang menarik unta—seorang di hadapan, seorang lagi di belakang. Kedua-dua lelaki tersebut memakai pakaian tradisi masyarakat padang pasir.

Dia memuat turun gambar itu, namun fikirannya kembali berkira-kira.

Macam nilah, oleh kerana ini sekadar ujian, tulis di bahagian bawah gambar nama lokasinya. Lepas tu cetak dan sedia. Tak payah pening. Kalau tak jadi, baru cuba cara lain.

Dia mencetak gambar tersebut menggunakan pencetak di sudut biliknya. Dengan menggunakan pen dakwat hitam, dia menulis di bahagian bawah sebelah kiri gambar piramid itu 'Kompleks Piramid Giza' lalu menggariskannya dengan pen dakwat merah.

Okey! Selesai.

Kini hanya tinggal selangkah sahaja lagi untuk menguji sama ada teorinya benar atau tidak. Oleh kerana jam telah pun menunjukkan pukul 11.45 pagi, dia bercadang untuk melakukan ujian tersebut pada sebelah petang selepas solat Jumaat dan makan tengah hari. Dia menutup buku catatan dan membiarkan gambar piramid tadi terdampar di atas meja.

Pada petang itu, dia kembali memasuki bilik bacaannya dan mengunci pintu dari dalam. Dia duduk di atas kerusi ergonomik sambil meneliti semula catatan yang ditulis pagi tadi. Hatinya berkecamuk untuk meneruskan rancangan tersebut. Sebahagian dirinya menyuruh dia berhenti, manakala sebahagian lagi mendesaknya untuk teruskan.

Dia merenung gambar piramid yang sudah dicetak dan sedia untuk digunakan itu. Beberapa minit kemudian, dia menarik laci pertama meja tulisnya untuk mengambil kotak yang menyimpan 'mesin pengembaraan' tersebut.

Adakah aku sedang melakukan sesuatu yang karut? Tidak! Tak rugi pun kalau mencuba.

Dia meletakkan kotak itu di atas meja lalu membukanya. Bau harum seakan-akan kasturi daripada keris tersebut serta-merta menerpa rongga hidungnya, membuatkan rasa gementarnya sedikit reda.

Sebelum keluarkan, jangan sentuh batu hijau selagi belum bersedia.

Dia berhenti seketika, memikirkan sesuatu. Apakah aku perlu berdiri? Kalau duduk, nanti terjatuh pulak bila dah sampai di sana.

Dia tergelak kecil. Okey, aku kena berdiri.

Setelah berdiri tegak di ruang lapang di tengah bilik, dia mencapai gambar piramid di atas meja lalu menggenggamnya erat dengan tangan kiri. Perasaan berdebar kini kian memuncak, bercampur baur dengan rasa teruja hingga tapak tangannya terasa sedikit berpeluh.

Pegang betul-betul gambar ni, jangan sampai terlepas.

Dia mengeluarkan keris dari dalam kotak itu dengan penuh berhati-hati menggunakan tangan kanannya, mengelak jari-jemarinya daripada tersentuh batu hijau. Seperti biasa, kayu dan besi keris itu mengalirkan rasa hangat yang menenangkan ke dalam genggamannya.

Macam mana kalau aku berjaya pergi, tapi tak berjaya pulang? Fikirannya mula melayang memikirkan perkara yang bukan-bukan. Mustahil! Kalau tak boleh balik, mesti tak boleh pergi!

Dia menarik nafas panjang, cuba menenangkan diri. Okey, macam ni—kalau aku berjaya ke tempat ni, rasai sekejap suasana di sana, lepas tu terus balik. Jangan bercakap dengan sesiapa. Eh, aku bukan tahu cakap Arab Mesir pun!

Jam di dinding pada waktu ini menunjukkan pukul 3.30 petang. Dia menguatkan semangatnya lalu serta-merta menggerakkan ibu jari kanannya menyentuh batu hijau.

Dalam sekelip mata, terasa satu tarikan halus di sekeliling tubuhnya dan kawasan sekelilingnya berubah secara drastik. Bunyi dengungan perlahan penyaman udara di bilik bacaannya lenyap serta-merta, digantikan dengan suasana yang asing dan bunyi deruan angin yang luas. Dia benar-benar berada di dalam pemandangan gambar yang dicetaknya tadi—berdiri tegak di atas hamparan pasir keemasan di hadapan gugusan piramid gergasi yang tersergam megah di bawah cahaya matahari.

Adakah aku sudah berjaya?

Dia mengerdipkan mata beberapa kali bagi memastikan pandangannya tidak menipu. Dia dapat merasakan bahang matahari yang terik membakar kulit, disapa angin padang pasir yang kering dan berdebu. Dia menghidu bau udara kering di kawasan itu, mengangkat tangannya ke hadapan wajah, dan melihat kesan tapak kakinya yang terbenam di atas pasir. Dia tidak berganjak dari tempat dia berdiri, cuba menyerap setiap detik keajaiban itu dengan akal warasnya.

Cuma, dia terlupa satu perkara penting—dia hanya berkaki ayam. Bahang pasir gurun yang mula membakar tapak kakinya membuatkan dia tidak berfikir panjang. Pantas dia mengangkat tangan kanannya yang memegang keris lalu menyentuh batu merah.

Sekelip mata, terik matahari itu lenyap dan dia kembali berada di bilik bacaannya. Hawa dingin penyaman udara serta-merta menyapa tubuhnya yang masih berbahang. Perubahan graviti dan suhu yang mendadak itu membuatkan dia gagal mengimbangi badannya seketika dan hampir terjatuh. Mujur di hadapannya ada meja tulis. Dia cepat-cepat berpaut pada meja itu dengan tangan kirinya lalu terus terduduk di atas kerusi ergonomik.

Perasaannya bercampur-baur antara percaya dengan tidak. Keris di tangan kanannya masih digenggam erat, manakala gambar piramid di tangan kirinya sedikit renyuk akibat tindakannya berpaut pada meja sebentar tadi. Kakinya masih terasa hangat kesan daripada pasir panas yang dipijaknya tadi.

Dia terduduk kaku beberapa minit, memandang sekeliling bilik yang sunyi itu sambil menenangkan fikiran. Peliknya, dia langsung tidak berasa takut, malah degupan jantungnya juga kekal tenang seperti biasa. Dia meletakkan semula keris itu ke dalam kotak simpanan dan memasukkannya kembali ke dalam laci pertama meja tulis.

Sebelum ini, dia tidak pernah kisah sama ada laci itu berkunci atau tidak. Namun kali ini, sebaik sahaja meletakkan kotak keris itu di dalamnya, dia terus mengunci laci tersebut dan menyimpan anak kuncinya ke dalam beg. Anak kunci yang selama ini hanya tergantung sepi sejak dia membeli meja itu kini menjadi objek paling berharga baginya. Dia memutuskan untuk mencatat pengalamannya pada malam nanti.

Pada sebelah malam, dia kembali ke bilik bacaannya. Sebelum mula menulis, dia membuka laci pertama meja tulisnya untuk memastikan kotak keris itu masih ada. Setelah berpuas hati melihat kotak kayu itu elok tersimpan, dia menutup dan menguncinya semula.

Dia mengambil pen dakwat hitam dari bekas alat tulis, lalu mencapai dan membuka buku catatannya. Dia mula menulis.

6 November (9.20 malam)

Teori Awal yang dibina pagi tadi (8.15 pagi) telah terbukti benar melalui percubaan pertama petang tadi (3.30 petang). Keris ini bukan sekadar senjata lama—ia ialah mesin pengembaraan.

Kesimpulan pengalaman ke Kompleks Piramid Giza:

  1. Dapat merasai suasana secara sedar dan nyata.

  2. Boleh menggerakkan anggota badan (tangan dan kaki) dengan bebas. Melihat kesan tapak kaki pada pasir.

Persoalan baharu:

Adakah aku mempunyai kebebasan untuk bergerak jauh dari titik asal ketibaan? Bagaimana dengan had masa? Adakah tempoh berada di sana tanpa batas? Bolehkah aku makan dan minum di sana? Bolehkah aku membawa peralatan atau barang lain bersama? Bagaimanakah aliran masa di sana? Adakah selari dengan masa di dunia realiti?

Perkara yang terlupa untuk dipastikan:

Adakah dua orang penggembala unta itu menyedari kehadiran aku?

— Megat

Dia meletakkan pennya, bersandar pada kerusi ergonomik sambil memandang buku catatan itu dengan mata yang bersinar-sinar. Dia sudah pun mula membayangkan tempat-tempat lain yang ingin dilawatinya. Namun sebelum itu, dia perlu mencari jawapan bagi setiap persoalan yang bermain di fikirannya.

Aku perlu membuat percubaan kali kedua!