BAB 3 - MISTERI YANG BERULANG

Malam itu, di bilik bacaannya, Megat duduk di atas kerusi ergonomiknya dengan pandangan kosong. Fikirannya masih terikat pada pemandangan bangunan usang yang dilaluinya petang tadi. Dia mengelamun seketika sebelum menghela nafas panjang. Kemudian, dia mengambil buku catatan hariannya dari pinggir sebelah kanan meja tulisnya.

Catatan malam: 4 November (5.30 petang)

Petang tadi pergi ke tempat pak cik jual keris. Ingat nak jumpa dia pasal mimpi. Anehnya, tempat tu rupa-rupanya kawasan terbiar yang dah lama kosong. Kalau ikut akal logik, mustahil ada orang berniaga di situ.

— Megat

Dia menutup buku catatan itu, meletakkannya semula di pinggir kanan meja, dan mengambil pula buku catatan tentang keris yang baharu dimulakannya semalam. Dia membuka helaian pertama, kedua, dan ketiga, lalu membaca catatan tentang Enam Pesanan Lembaga Hitam yang diturunkan kepadanya. Dia mencari dan menggaris perkataan yang mungkin dapat memberikan petunjuk.

Salah satu tabiatnya, dia memisahkan penggunaan warna pen mengikut keperluan. Pen hitam digunakan hanya untuk menulis, manakala pen merah digunakan hanya untuk menggaris perkataan penting.

Sambil memegang pen merahnya, matanya tertumpu pada setiap patah perkataan dalam enam pesanan lembaga hitam tersebut.

Dia menggariskan frasa 'bilah lama, basuhlah, tertib' pada pesanan kedua. Kemudian dia menyambung menggariskan frasa 'samudera, suluh hikmat, tidak karam' pada pesanan keempat. Pada pesanan kelima, dia menggariskan pula perkataan 'menjejak, santun, bicara, karma'.

Setelah lama merenung dan berfikir, dia menemui satu kemungkinan. Lantas, dia menukar pen merah kepada pen hitam, lalu menulis.

4 November (9.00 malam) - KEMUNGKINAN TAFSIRAN

Pertama, 'bilah lama, basuhlah, tertib' mungkin bermaksud keris itu, apabila telah berkarat mesti dibersihkan. Bermakna, aku perlu tahu bagaimana caranya dan siapa yang boleh melakukannya. Adakah karat juga membawa maksud kotor? Atau karat besi selepas terdedah dengan air yang lama?

Kedua, 'samudera, suluh hikmat, tidak karam' pula mungkin bermaksud banyak ilmu akan membawa selamat. Adakah ilmu untuk menyelenggara keris? Lautan—ilmu—selamat?

Ketiga, 'menjejak, santun, bicara, karma'. Yang ini belum diketahui. Takkan bersihkan keris kena bersopan santun? Tapi mungkin juga. Ataupun adab ketika menjaga keris.

— Megat

Buat masa ini, tafsirannya masih tertumpu pada penjagaan keris semata-mata. Dia masih belum mendapat gambaran bahawa pesanan itu sebenarnya mempunyai maksud yang jauh lebih mendalam dan merentas batas logiknya.

Bagi menambah maklumat, dia menghidupkan komputer ribanya, membuka AI Chatbot lalu menaip pertanyaan 'apa itu keris?'. Dia meneliti jawapan yang terpapar, menemui maklumat asas tentang sejarah, cara pembuatan, bahan yang digunakan, serta beberapa penerangan tentang jenis lok keris. Kini, dia telah pun tahu maksud lengkungan pada bilah keris tersebut.

Rupa-rupanya lengkungan empat di atas dan tiga di bawah itu ialah lok, diambil daripada perkataan berbelok-belok. Ini menarik!

Matanya mengerling jam di dinding. Dah pukul 11.10 malam!

Dia menutup buku catatannya lalu meletakkannya semula bersama buku-buku catatan yang lain di pinggir kanan meja. Sebelum beransur ke bilik tidur, sempat dia membuka laci paling atas meja tulisnya, mengeluarkan kotak kayu yang menyimpan keris itu, dan meletakkannya di atas meja. Dia membuka kotak tersebut lalu mengangkat keris itu perlahan-lahan dengan kedua-dua belah tangannya, sekadar ingin menatapnya. Dia memusing-musingkan keris itu di bawah cahaya lampu meja, menghidu baunya yang tetap harum, dan menyentuh batu-batu yang bertatah pada sarung keris tersebut.

Apalah agaknya rahsia keris ini?

Malam ini merupakan malam kedua dia memiliki keris itu. Dia menyimpan semula keris tersebut ke dalam kotak kayu dan memasukkannya kembali ke dalam laci, meninggalkan bilik bacaannya, memasuki bilik tidur, mengaktifkan jam loceng, dan akhirnya terlena.

Tiba-tiba, kesedarannya ditarik masuk ke alam mimpi. Ruang kelabu tanpa sempadan itu menyambutnya kembali—mimpi semalam berulang sekali lagi. Lembaga hitam itu meluncur mendekatinya dan mengulangi kata-kata yang sama dengan nada yang tetap tenang seperti malam sebelumnya. Cuma ada satu perkara yang ganjil pada lembaga itu—ketinggiannya kali ini sudah meningkat separas bahu Megat.

Dia terjaga tepat selepas lembaga itu selesai mengucapkan kata-katanya. Jam loceng pun berbunyi nyaring. Dia bangun dan duduk seketika di birai katil sambil meraup wajahnya, memikirkan perihal mimpi tersebut.

Apa maksud mimpi ni sebenarnya? Sudah dua malam aku mengalaminya! Kenapa lembaga itu semakin tinggi? Apa yang cuba disampaikan?

Hari itu dilaluinya dengan seribu persoalan. Dia tidak dapat memberikan tumpuan sepenuhnya dalam pekerjaannya, malah tidak sempat mencatat keganjilan lembaga itu dalam buku catatannya. Pernah sekali, dia terus kaku mengelamun di stereng walaupun lampu isyarat sudah tiga saat bertukar hijau, sehinggalah kereta di belakang membunyikan hon bertalu-talu.

Setelah melalui hari yang meresahkan itu, dia memandu melewati lokasi tempat dia membeli keris tersebut di bawah cahaya matahari petang yang terang. Memang benar tanpa sebarang keraguan, kawasan itu merupakan deretan bangunan terbiar yang sunyi sepi.

Malam itu di bilik bacaannya, dia langsung tidak menyentuh buku, catatan, mahupun kerisnya seperti biasa. Dia cuba mengalihkan perhatian dengan menonton filem sehingga pukul 10.50 malam, merancang untuk tidur awal bagi merehatkan mindanya yang keletihan. Dia meninggalkan bilik bacaannya dan melangkah masuk ke bilik tidur.

Beberapa minit selepas dia terlena, tiba-tiba dia mengalami mimpi yang sama buat kali ketiga. Namun kali ini, ketinggian lembaga itu sudah menyamai ketinggiannya sendiri, berdiri bertentangan dengannya pada jarak sedepa. Perkara itu tidaklah begitu mengejutkan berbanding satu lagi kejadian yang jauh lebih aneh.

Mimpi kali ini berlangsung lebih panjang sedikit. Dia tidak terus terjaga selepas perkataan terakhir diucapkan. Sebaliknya, dia melihat tangan kirinya memegang sekeping foto, manakala tangan kanannya menggenggam erat keris yang sama seperti miliknya.

Tiba-tiba, tanpa disuruh, dia mengangkat ibu jari lalu menyentuh batu hijau yang ada pada sarung keris itu. Serta-merta pemandangan kelabu di sekelilingnya berputar dan dia berpindah ke satu tempat yang lain. Dia mengangkat tangan kirinya yang masih memegang sekeping foto dan memerhatikannya dengan cermat. Rupa-rupanya, dia sedang berada di tempat yang sama seperti yang tergambar di dalam foto itu.

Segala-galanya tampak begitu nyata baginya. Dia dapat menghirup udara segar di situ; baunya seperti aroma tumbuh-tumbuhan hutan yang bercampur dengan bau tanah lembap selepas hujan. Dia sedang berdiri di hadapan sebuah istana purba berbatu kelabu yang tidak diketahui sejarahnya. Suhu di tempat itu terasa sangat nyaman, jauh berbeza dengan bahang di dunianya.

Setelah menikmati suasana di tempat asing itu, dia melihat tangan kanannya yang masih memegang keris tadi. Kemudian, ibu jarinya menyentuh pula batu yang berwarna merah. Sepantas kilat, ruang itu lenyap dan dia kembali ke tempat lembaga hitam itu berdiri. Dia sedar segala perbuatannya berlaku di luar kawalan; dia sekadar menjadi pemerhati di dalam tubuhnya sendiri tanpa mampu menghalang.

Beberapa saat berlalu dalam kesunyian yang mencengkam, lembaga itu pun bersuara dengan nada yang lebih jelas daripada sebelumnya. "Engkau sudah hampir sedia."

Megat tersentak lalu terjaga daripada tidurnya dengan nafas yang sedikit tercungap. Jam loceng pun berbunyi tepat pada waktunya.

Dia duduk di atas katilnya. Satu sensasi seram sejuk menerpa tubuhnya sekali lalu. Namun, anehnya dia berasa tenang; fikirannya tidak lagi bercelaru seperti semalam. Segala kekeliruan seolah-olah baru sahaja menemui kuncinya. Dia bangun dan terus bergegas ke bilik bacaannya, menyambar buku catatan keris di pinggir kanan meja lalu mula mencatat dengan tangan yang sedikit menggeletar keterujaan.

6 November (5.20 pagi)

Mimpi malam ini sama seperti mimpi dua hari yang lalu, tetapi ada tambahan yang sangat penting.

— Megat

Dia menuliskan perihal foto, sentuhan pada batu hijau dan merah, suasana istana purba yang dirasainya, serta ayat terakhir lembaga itu sebelum mengakhiri catatannya.

Adakah keris ini boleh membawa aku mengembara? Apakah aku perlu mengujinya? Ya, aku harus membuktikannya sendiri!

Sepantas dia meletakkan tanda noktah pada huruf terakhir catatannya, sepantas itu juga dia menutup buku tersebut. Hatinya dilanda keterujaan yang meluap-luap—satu perasaan yang sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Dia mula merangka pelbagai perancangan bagi menguji keupayaan sebenar keris itu.

Hari ini ialah hari Jumaat.