BAB 2 - CATATAN DAN MIMPI ANEH

Sepanjang perjalanan pulang dari deretan kedai itu, minda Megat masih terganggu dengan bayangan kaki lima yang kosong pada cermin pandang belakangnya tadi. Dia cuba menyedapkan hati sendiri, menganggap mungkin pak cik tua itu bergerak pantas mengemas barangnya sebaik sahaja dia berpaling.

Malam itu, setelah selesai membersihkan diri dan makan malam, Megat masuk ke bilik bacaannya. Inilah tempat yang menjadi penemannya pada setiap malam dan waktu lapang. Bilik itu tidaklah luas; di dalamnya terdapat dua buah rak kayu berwarna coklat gelap yang tersusun dengan buku-buku pelbagai genre. Di hadapan rak tersebut, ada sebuah meja tulis kayu dengan rona yang senada bersama sebuah kerusi ergonomik berwarna hitam.

Di pinggir sebelah kanan meja itu terdapat dua buah buku catatan—satu untuk catatan harian, manakala satu lagi untuk catatan bacaan. Sebuah bekas PVC berbentuk kotak yang diisi dengan sebatang pen penanda hitam, pen dakwat merah, dua batang pen dakwat hitam, serta beberapa alat tulis lain diletakkan bersebelahan dengan buku-buku catatan tersebut.

Terdapat juga sebuah kerusi sofa recliner yang biasa digunakannya untuk membaca. Di sebelahnya pula ada sebuah meja kecil untuk meletakkan secawan kopi dan buku nota semasa dia sedang membaca. Bilik itu disinari cahaya lampu jenis cool white yang baginya amat selesa di mata.

Petang tadi, setelah tiba di rumah, dia menyimpan keris itu di dalam sebuah kotak kayu lama yang kebetulan tidak berpenghuni dan meletakkannya di laci paling atas meja tulisnya. Kini, sebelum mengeluarkan keris tersebut dari kotaknya, dia menghamparkan sehelai kain putih yang bersih di atas meja. Dengan perlahan dan penuh tertib, dia mengangkat keris itu keluar lalu meletakkannya di atas hamparan kain putih tadi.

Dia mula memerhatikan setiap sudut keris itu dengan teliti. Kemudian, dia mencapai sebuah buku catatan yang masih baharu dari raknya. Entah mengapa, hatinya tergerak untuk tidak mencampuradukkan catatan tentang keris ini dengan catatan-catatannya yang lain. Dia menarik nafas perlahan, membuka penutup pen dakwat hitamnya, lalu memulakan catatannya.

3 November (10.00 malam) - Keris ini dibeli dengan harga RM1 daripada seorang pak cik tua di kaki lima sebuah kedai. Aku lupa untuk melihat papan tanda kedai itu, malah kedai-kedai di situ kelihatan gelap dan sunyi. Kelihatan dengan jelas bahawa keris ini masih elok; kayu sarung dan hulu pemegangnya masih cantik serta tiada rekahan. Tiada sebarang ukiran pada kayu sarung mahupun pemegangnya. Pembuatnya sangat teliti dan kemas; lengkungan pada sudutnya sangat baik dan halus buatannya. Jenis kayu belum dapat dipastikan. Warna kayunya coklat sederhana hingga keperangan. Urat kayu itu lurus, padat, dan selari.

Dia mengangkat keris yang masih bersarung itu, merapatkannya ke batang hidung lalu menghidunya dalam-dalam. Sambil memegang keris dengan tangan kiri, dia kembali menulis.

Bau keris ini harum, tetapi tidak dapat dipastikan bau apa. Seperti bau kasturi yang menenangkan. Baunya sederhana—tidak terlalu kuat dan tidak pula terlalu samar, cukup sekadar dapat dihidu dalam jarak kira-kira 12 hingga 18 inci. Keris ini terletak elok di tapak tangan apabila dipegang dan sangat selesa, seolah-olah ditempa khas mengikut saiz tangan.

Kemudian, dia mengamati batu-batu yang melekat pada sarung keris itu. Dia menyentuh batu-batu berwarna itu dengan jari telunjuk tangan kanannya, meraba permukaannya yang licin.

Ada empat butir batu, mungkin batu permata, yang tidak dapat dipastikan jenisnya. Terletak di bahagian hulu sarung secara sebaris—dari kiri berwarna hijau, merah, kuning, dan hitam. Batu-batu ini terasa selesa di tangan. Ia tertanam kukuh pada kayu tanpa sebarang kesan gam atau ikatan logam yang ketara. Rasanya sejuk (seperti kebiasaan batu), timbul berbenjol di atas kayu, dan sedikit berkilat apabila terkena cahaya lampu. Batu-batu ini hanya dipasang pada satu bahagian sarung, manakala bahagian belakangnya kosong.

Tiba masanya untuk melihat isi di dalamnya. Dia mula mencabut bilah keris itu daripada sarungnya dengan berhati-hati. Saat bilah besi itu ditarik keluar, kedengaran bunyi geseran halus yang nyaring sebelum ia terpisah sepenuhnya. Dia meletakkan sarung dan bilah tersebut sebelah-menyebelah di atas hamparan kain putih tadi, lalu mengamati perinciannya di bawah cahaya lampu meja.

Bahagian atas bilah keris sedikit gemuk, lebar pada pangkalnya dan semakin menipis di bahagian hujung. Bilahnya berlekuk-lekuk—empat di atas dan tiga di bawah, bergantung pada posisi. Bilahnya mempunyai semacam corak seperti air mengalir berterusan; corak itu kelihatan seperti kesan lipatan yang berlapis-lapis, umpama serat kayu yang beralun mengikut lekuk. Belum dapat dipastikan apakah jenis corak ini, tetapi semakin lama diperhati, ia semakin menarik dan cantik. Mata seolah-olah terpukau melihatnya.

Dengan berhati-hati, dia meraba permukaan bilah keris itu dengan jari-jemarinya dari atas ke bawah untuk merasai tekstur besinya. Dia tahu keris ialah senjata tajam, maka dia mengelak daripada menyentuh bahagian tepi bilah yang berlekuk itu.

Sama seperti petang tadi, besi keris ini terasa sejuk pada mulanya dan sedikit demi sedikit berubah menjadi hangat. Kehangatan itu konsisten. Cuma...

Dia berhenti menulis sejenak, memandang bilah keris itu dengan dahi yang berkerut. Dia masih ingat perasaan aneh—rasa rindu yang mendalam serta imbasan samar—ketika pertama kali dia memegang keris itu petang tadi. Namun pada malam ini, dia tidak pula merasakan apa-apa yang ganjil selain kehangatan besinya.

Ke manakah hilangnya perasaan pelik petang tadi? Aku menyentuh keris ini sekarang, tetapi tiada sebarang rasa luar biasa.

Kemudian, dia mencatat beberapa persoalan di halaman bawah supaya dia dapat mencari maklumat lanjut untuk memahami keris tersebut.

Siapakah penempanya? Apakah bahan yang digunakan? Dari manakah asalnya? Bau harum ini terhasil daripada apa? Bagaimanakah cara menjaganya? Kenapa aku teringin hendak beli keris ini tadi? Harganya langsung tidak masuk akal. Pak cik tua itu pula nampak pelik dan hilang begitu sahaja. Siapakah dia sebenarnya?

Jam di dinding telah menunjukkan pukul 11.00 malam. Dia menutup buku catatan itu dan meletakkannya bersama buku-buku catatan yang lain. Dia menyarungkan kembali bilah keris itu, menyimpannya semula ke dalam kotak kayu, lalu memasukkannya kembali ke dalam laci simpanan. Setelah memastikan lampu bilik dipadamkan, dia meninggalkan bilik bacaannya dan melangkah masuk ke bilik tidur.

Beberapa waktu setelah terlena, tiba-tiba dia terjaga. Dia mendapati dirinya berada di satu tempat yang sangat aneh.

Bukankah aku tadi sedang tidur? Kenapa tiba-tiba aku berdiri di sini?

Keadaan itu terasa begitu nyata baginya. Dia melihat kaki dan tangannya, menggerak-gerakkannya tanpa sebarang halangan. Malah, dia dapat merasakan udara yang dingin menyapa kulit serta menghidu haruman yang seakan-akan bau campuran pelbagai bunga yang lembut. Tempat itu sangat tenang dan sunyi, tanpa sebarang bunyi cengkerik mahupun deruan angin. Anehnya, mindanya menerima semua keadaan itu sebagai sesuatu yang normal tanpa rasa panik.

Adakah aku sedang bermimpi?

Ruang itu terbentang luas sejauh mata memandang dalam rona kelabu keputihan yang samar. Tidak dapat dipastikan yang mana satu lantai dan yang mana satu langitnya. Tiada tumbuhan mahupun bentuk muka bumi; kedua-duanya kelihatan serupa dan menyatu di kaki langit. Namun, dia yakin dirinya sedang berdiri tegak di atas permukaan yang pejal dan bukannya terapung di awang-awangan.

Sedang dia memikirkan keadaan yang tidak logik itu, dia terlihat satu lembaga di kejauhan yang perlahan-lahan bergerak mendekatinya. Lembaga itu tidak melangkah seperti manusia berjalan, sebaliknya kelihatan seperti meluncur tenang di atas permukaan ruang tersebut. Semakin lama ia semakin dekat sehinggalah jarak antara mereka hanya tinggal sedepa mengikut ukuran tangannya. Lembaga itu berhenti dan berdiri kaku.

Bentuk tubuhnya menyerupai seorang manusia, namun wajah dan susuknya tidak dapat dipastikan—ia kelihatan seperti gumpalan bayang-bayang hitam pekat yang menyerap cahaya di sekelilingnya. Tingginya pula hanya separas siku Megat. Setelah seketika, lembaga itu mula bersuara dengan nada yang tenang namun bergema terus ke dalam benaknya, sehinggalah Megat terjaga daripada tidurnya.

Jam loceng berbunyi nyaring, menandakan waktu sudah pukul 5.00 pagi.

Oh, mimpi rupanya.

Dalam keadaan mamai dengan jantung yang berdegup sedikit kencang, dia bergegas bangun dan terus menuju ke bilik bacaan di sebelah bilik tidurnya. Kata-kata lembaga hitam itu masih terngiang-ngiang di fikirannya, tersusun kemas seolah-olah sudah terpahat dalam ingatannya. Dia duduk di atas kerusi ergonomiknya, menghidupkan lampu meja, menyambar buku catatan keris malam tadi lalu terus menulis sebelum satu pun perkataan itu hilang dari ingatan.

4 November (5.10 pagi) - CATATAN MIMPI ANEH:

Enam Pesanan Lembaga Hitam (PLH)

  1. Siramlah benih kebajikan itu tanpa jemu; kerana setia menjaga akarnya, langit melimpahkan teduh dan buah yang tiada taranya.

  2. Andai bilah lama kian pudar bisanya, basuhlah karatnya menurut tertib pertukangan.

  3. Lepaskan tapakmu menjejak ke mana jua angan berlabuh; kutip permata di setiap liku perjalanan, lalu tundukkan jiwa memuji limpahan kurnia-Nya. 

  4. Sebelum melabuhkan sauh ke samudera tak bertepi, lengkapkan dada dengan suluh hikmat; agar bahtera tidak karam dihempas gelora. 

  5. Bila menjejak serambi orang, pasakkan santun di tiang peribadi; andai tergelincir laku bicara, jangan dialih pikulan karma.

  6. Jangan diserah tali kekang bahtera jiwa kepada gelora yang membuta, kelak nakhoda sendiri yang karam di lautan kehendak. 

— Megat

Dia meletakkan pennya, lalu merenung catatan itu lama-lama. Hatinya kuat mengatakan bahawa lembaga hitam itu bukanlah sekadar mimpi biasa.

Sepanjang hari itu di tempat kerja, fikiran Megat melayang memikirkan mimpinya. Petang itu, semasa memandu pulang, terlintas di fikirannya untuk menemui semula pak cik tua yang menjual keris kepadanya semalam. Dia ingin bertanya kalau-kalau orang tua itu tahu tentang mimpi aneh malam tadi serta kaitannya dengan keris tersebut.

Dia membelok masuk ke simpang deretan kedai yang sama. Namun, alangkah terkejutnya dia apabila mendapati kawasan yang disinggahinya semalam hanyalah deretan bangunan tinggal yang usang. Cat dindingnya mengelupas teruk, manakala pintu-pintu kedai pula berkarat dan berpalang kayu. Kaki lima tempat pak cik tua itu duduk bersila semalam dipenuhi daun kering serta habuk tebal—jelas menunjukkan tempat itu sudah bertahun-tahun tidak berpenghuni.