BAB 1 - PEMBELIAN TAK DIRANCANG

Ketika Megat dalam perjalanan pulang ke rumahnya, hujan turun dengan lebatnya. Jam baru sahaja menunjukkan pukul 5.00 petang. Tiba-tiba, perutnya berkeroncong meminta untuk diisi. Kebetulan, di sebelah jalan utama yang dilaluinya itu terdapat deretan kedai. Dia memutuskan untuk singgah sebentar di situ.

Cuba tengok, kalau-kalau ada kedai runcit.

Setelah membelok masuk ke kawasan itu, dia memandu dengan perlahan sambil meninjau jika ada kedai runcit di situ. Anehnya, sebaik sahaja tayar keretanya melintasi simpang masuk, bunyi deruan hujan lebat yang bingit menghentam cermin kereta tiba-tiba kedengaran jauh dan tenggelam. Kawasan tersebut sangat sunyi; tiada kelibat orang mahupun kenderaan lain, malah tiada satu pun papan tanda kedai yang menyala. Pun begitu, Megat tidak merasakan ada sesuatu yang pelik dengan suasana itu, mungkin kerana fikirannya lebih tertumpu pada perut yang lapar.

Sedang matanya memerhati deretan kedai itu, di kaki lima sebuah kedai, dia terpandang seorang pak cik tua yang sedang duduk bersila di atas hamparan sehelai kain pelikat. Di hadapannya, terdapat beberapa barang yang tersusun rapi.

Jual apa pak cik ni? Tempat pun kosong takde orang.

Dia memberhentikan keretanya. Hajatnya untuk mencari makanan tadi terus dilupakan. Hatinya teringin hendak melihat apa sebenarnya yang dijual oleh lelaki tua itu. Kebetulan pula, hujan lebat tadi beransur menjadi renyai-renyai, membolehkannya turun dari kereta tanpa membasahkan pakaian.

Dia melangkah menuju ke arah pak cik tua itu. Sebaik sahaja dia tiba di hadapannya, lelaki tua itu mengangkat wajah, memandang Megat lalu tersenyum tanpa mengucapkan sebarang kata. Renungan mata orang tua itu terasa redup namun tajam, seolah-olah dia sudah lama menunggu kedatangan Megat di situ. Megat pula hanya membalas senyuman itu dengan membisu. Situasi tersebut terasa agak kekok bagi pertemuan antara seorang penjual dengan pembeli. Selalunya, pasti akan ada kata sapaan pembuka bicara.

Mata Megat yang memang gemar memerhati perincian mula menyapu pandangan ke atas hamparan kain pelikat tersebut. Terdapat beberapa barangan lama seperti bekas tembaga kusam, sebiji batu cincin yang pudar warnanya, dan sebuah kitab usang yang terikat dengan benang kasar. Anehnya, meskipun tempias hujan membasahi lantai kaki lima di sekeliling mereka, kain pelikat serta barangan itu kelihatan kering kontang. Namun, di tengah-tengah kesemua barang itu, ada satu objek yang paling menonjol dan amat menarik minatnya. Sebilah keris.

Peliknya, dia bukanlah seorang pengumpul barang antik mahupun peminat barangan lama, namun pandangannya seolah-olah terkunci pada senjata tersebut. Hatinya berbisik agar dia melihat keris itu dengan lebih dekat lagi.

Pelik la aku ni. Kenapa pulak keris ni yang aku pandang semacam? Tanda harga pun tak ada.

Lama dia merenung keris itu tanpa sepatah kata. Dia sempat mengamati kayu sarungnya yang kemas tanpa ukiran dengan urat kayu yang tersusun selari, lalu terdetik keinginan kuat untuk memilikinya.

Setelah beberapa minit berdiri kaku merenung keris itu, barulah dia merendahkan badannya dan duduk bertinggung di hadapan pak cik tua tersebut.

"Assalamualaikum, pak cik."

Lelaki tua itu membalas salam Megat dengan senyuman mesra. "Waalaikumussalam."

Belum sempat Megat membuka mulut untuk bertanya, orang tua itu sudah terlebih dahulu mencapai keris yang ditenungnya tadi lalu mengangkatnya dengan cermat. Dia memandang keris tersebut buat seketika sebelum mengalihkan pandangannya kepada Megat.

"Adakah ini yang kamu inginkan?"

Megat terdiam mendengar pertanyaan itu. Macam mana pulak pak cik ni boleh tahu? Aku belum lagi tanya apa-apa.

Dia memandang wajah lelaki tua tersebut, lidahnya kelu memikirkan jawapan yang sesuai. Dia tergagap-gagap bersuara.

"Eh... errrmmm..."

Pak cik tua itu tersenyum kecil sambil menghulurkan keris yang masih tersarung elok itu kepadanya. Tanpa berlengah, Megat menyambutnya dengan kedua-dua belah tangan. Sebaik sahaja jari-jemarinya menyentuh kayu sarung keris itu, bulu romanya meremang halus. Permukaan kayunya terasa sejuk pada mulanya, namun sedikit demi sedikit mengalirkan rasa hangat yang berdenyut lembut ke telapak tangannya.

Satu aroma harum seakan-akan minyak kasturi menerpa rongga hidungnya. Sebenarnya, dia tidak tahu dengan pasti jenis bau tersebut, namun dia menyukainya. Sekelip mata, fikirannya disapa satu imbasan samar—seolah-olah kedengaran deruan angin yang luas bersama bayangan seseorang yang tidak dikenali—sebelum imbasan itu hilang secepat ia datang. Megat mengerdipkan mata, menyangka ia sekadar rasa pening akibat perutnya yang kosong.

Tiba-tiba, dia merasakan sesuatu yang aneh. Satu perasaan seolah-olah dia sedang bertemu semula dengan seorang sahabat yang telah lama menghilang—seseorang yang kepulangannya tidak pernah diduga, namun amat dirindui. Dia tidak tahu mengapa perasaan itu muncul, apatah lagi siapa yang sedang dirinduinya.

Dia merenung keris itu, diam seribu bahasa. Memang itulah yang dilakukannya sejak mula dia menyambut keris tersebut daripada tangan pak cik tua tadi. Keinginan untuk memilikinya kini jauh lebih kuat berbanding sebelumnya. Dia tidak mahu melepaskan keris itu.

Macam mana pun, aku mesti dapatkan keris ni.

Sambil memandang lelaki tua yang masih tenang duduk bersila itu, dia cuba memberanikan diri untuk bertanya. Namun, timbul pula satu kebimbangan.

Macam mana kalau pak cik ni letak harga tinggi? Duit cuma ada seratus je ni.

Dia menggigit-gigit bibirnya, fikirannya ligat mencari jalan penyelesaian. Beberapa idea mula berlegar di kepalanya.

Apa kata aku tanya dulu harganya. Kalau ngam dengan bajet, aku minta pak cik ni simpan dulu. Aku balik ambil duit kat rumah atau cari mesin ATM berdekatan, kemudian datang balik. Tapi sempat ke? Suasana sunyi kat sini macam buat masa berjalan cepat sangat, dah nak maghrib pun. Ah... kalau ada rezeki, keris ni aku punya. Kalau tak ada, nak buat macam mana.

Sedang dia tenggelam dalam lamunannya, pak cik tua itu bersuara.

"Adakah kamu menyukainya?"

Megat mengalihkan pandangannya pada keris yang masih berada dalam genggamannya. "Ya, pak cik. Saya suka."

Lelaki tua itu tersenyum. "Kalau begitu, berapakah harga yang mampu kamu bayar?"

Megat melihat keris itu sekali lagi. "Sejujurnya saya cuma ada..."

Belum sempat dia menghabiskan kata-katanya, orang tua itu bersuara lagi.

"Adakah kamu tahu tentang keris?"

"Tak berapa tahu, pak cik. Saya cuma tahu keris ni senjata tradisional orang Melayu. Tentang jenis-jenis atau sejarahnya, saya tak berapa arif."

Pak cik tua itu mengangguk perlahan. "Adakah kamu tahu cara untuk menjaganya?"

"Terus terang, pak cik, saya tak tahu. Ni baru pertama kali saya pegang keris."

Dia memandang Megat sambil tersenyum. "Bagaimana? Apakah kamu rasa selesa memegang keris ini? Adakah bentuknya menepati cita rasamu?"

Megat tidak mempunyai jawapan yang pasti untuk soalan itu. Daya tarikan keris tersebut sukar untuk dijelaskan dengan akal fikiran.

"Entahlah, pak cik. Saya tak tahu sangat tentang keris. Tapi bila saya pegang keris ni, saya rasa selesa. Susah nak terangkan. Pasal bentuknya pula, saya suka. Cuma saya tak tahu kenapa."

"Kalau begitu, pak cik jual keris ini dengan harga seringgit."

Megat terpaku seketika. "Betul ke, pak cik? Seringgit je?"

Pak cik tua itu mengangguk tenang.

Megat menggaru-garu kepalanya. Sejujurnya, ini merupakan tawaran yang sangat luar biasa. Pada fikirannya, keris seperti itu mungkin berharga ratusan ringgit, malah boleh mencecah ribuan ringgit.

"Pak cik tak main-main ke ni? Memang seringgit?"

Lelaki tua itu tersenyum dan mengangguk lagi.

Teruja dengan tawaran tersebut, dia terus menyeluk poket sebelah kiri seluarnya dan menarik keluar sekeping wang kertas RM1. Tanpa memastikan wang itu elok atau tidak, dia terus menghulurkannya kepada pak cik tua itu.

Orang tua itu menyambut wang tersebut sambil tersenyum dan berkata, "Pak cik turunkan keris ini kepadamu. Jagalah keris ini baik-baik."

Sedar tak sedar, hari sudah pun mulai gelap. Hujan renyai-renyai juga telah berhenti. Kerana tidak mahu terus mengganggu pak cik tua itu, dia pun memohon diri untuk pulang.

"Okeylah, pak cik. Saya minta diri dulu. Dah nak malam ni. Terima kasih. Assalamualaikum."

Megat melangkah masuk ke dalam keretanya sambil memegang erat keris tersebut. Setelah menghidupkan enjin dan memandu keluar dari deretan kedai itu, dia sempat menjeling ke arah cermin pandang belakang. Kaki lima tempat dia duduk bertinggung sebentar tadi kini kosong—kelibat pak cik tua bersama hamparan kain pelikatnya sudah pun ghaib tanpa kesan, meskipun tiada satu pun pintu kedai di belakangnya yang terbuka.

← Bab Sebelumnya