Lembaga hitam itu muncul sekali lagi di dalam mimpinya. Namun kali ini, tiada apa-apa yang ganjil berlaku sepanjang pertemuan itu, malah ketinggiannya juga kekal menyamai ketinggian Megat seperti malam sebelumnya. Lembaga itu mengungkapkan semula keseluruhan enam pesanan yang pernah diturunkan sebelum ini, cuma pada penghujungnya ia menambah satu lagi pesanan baharu.
Megat tersedar daripada tidurnya tepat pada pukul 5:00 pagi. Dia bingkas bangun dari katil dan terus menuju ke bilik bacaannya untuk mencatat pesanan tambahan tersebut sebelum luput daripada ingatan.
7 November (5:05 pagi) - Lembaga hitam menambah satu lagi pesanan:
Timbuslah butir rahsia ini di bawah telaga hening; biarkan tiada tapak menjejak, kerana angin hasad sentiasa mencari celah untuk meniupkan bisa.
– Megat
Dia tidak perlu lagi berteka-teki tentang maksud di sebalik baris ayat itu. Kali ini, dia mentafsirnya dengan penuh yakin tanpa sebarang perkataan ‘kemungkinan’ seperti yang ditulisnya sebelum ini.
Ini adalah rahsia besar. Jangan sebarkan kepada sesiapa, nanti ada yang dengki dan cuba merampasnya.
Tafsiran itu dirasakan amat bertepatan dengan tindakan spontannya petang semalam ketika mengunci laci simpanan keris tersebut—meskipun pada hakikatnya, tindakan itu lebih didorong oleh rasa gerun selepas menyaksikan sendiri kuasa luar biasa keris berkenaan.
Selepas bersarapan, dia kembali semula ke bilik bacaannya. Buku catatan dan pen telah pun tersedia kemas di atas meja di hadapannya.
"Aku nak namakan buku ni sebagai Jurnal Kembara," gumamnya perlahan sambil mencapai pen penanda berdakwat hitam, lalu menulis tajuk itu dengan huruf besar di kulit hadapan buku tersebut.
Percubaan kedua akan dijalankan pada pagi ini. Tujuannya adalah untuk merungkai beberapa persoalan: Adakah dia mempunyai kebebasan untuk bergerak jauh dari titik asal? Berkenaan dengan tempoh pengembaraan—adakah ia tanpa batas? Bolehkah dia membawa peralatan lain merentas bersama? Bagaimanakah aliran masa di sana, dan adakah ia selari dengan dunia realiti?
Bagi memudahkan perbandingan, Megat memilih lokasi yang sama seperti percubaan pertamanya semalam lalu mula mencatat.
Sabtu, 7 November (8:30 pagi)
Lokasi: Kompleks Piramid Giza. Masa kembara: 10:00 pagi.
Perkara yang perlu diperhatikan dan dilakukan:
Periksa sama ada dua orang penggembala dan unta itu masih berada di situ.
Bawa jam tangan untuk melihat pergerakan waktu, kemudian bandingkan dengan jam di bilik bacaan.
Uji pergerakan. Bergerak lima langkah ke hadapan; pastikan titik asal ditanda sebagai langkah berjaga-jaga, bimbang keris hanya boleh membawa pulang dari tempat mula tiba. Jika ada orang di situ, cuba lambai tangan untuk melihat reaksi mereka. Buat satu pusingan kecil dan kembali ke titik asal. Undur dua langkah dan sentuh batu merah; jika tiada apa-apa berlaku, kembali semula ke titik asal.
Bawa kamera untuk menguji sama ada peranti elektronik berfungsi di sana atau tidak.
Jika ada orang yang menghampiri, cuba untuk berkomunikasi. Jika keadaan bertukar bahaya, sentuh batu merah dengan segera.
Barang-barang yang perlu dibawa bersama: jam tangan (jenis mekanikal), kamera (bawa kamera lama sebagai langkah berjaga-jaga), sebotol air mineral kecil, beberapa helai kertas kosong, dan pen.
– Megat
Agar tidak terlepas pandang semasa di sana nanti, dia menyalin semula senarai semak perkara yang perlu diperhatikan itu di atas sehelai kertas putih bersaiz A4. Setelah kesemua peralatan disediakan dan dimasukkan ke dalam beg sandang, dia menghamparkan sehelai kain pelikat lama di atas lantai biliknya sebagai alas—bukan sahaja untuk melindungi lantai yang bersih daripada tapak kasut kegunaan luarnya, malah sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya ada kotoran pasir yang terbawa pulang nanti.
Kali ini, persiapannya jauh lebih rapi berbanding semalam. Dia mengenakan kemeja-T hitam berleher bulat di bahagian dalam, dipadankan dengan kemeja denim lengan panjang berwarna biru di luar, seluar jeans biru potongan biasa, serta kasut Vans Old Skool hitam. Bagi menyelami suasana pengembara ala Indiana Jones, dia turut menyarungkan topi fedora klasik di kepalanya sebelum berdiri tegak di hadapan cermin.
"Segak tak?" tanyanya kepada bayangan sendiri sambil bersiul kecil mengalunkan lagu tema filem Indiana Jones.
Sementara menunggu jarum jam menghampiri pukul 10:00 pagi, dia membuat semakan terakhir pada setiap kelengkapannya. "Kertas, ada. Kamera, ada. Pen, ada. Jam tangan berfungsi, ada. Tali kasut dah ikat kemas. Topi, okey. Air mineral, ada. Gambar piramid, ada. Keris, sedia."
Dalam debaran yang kian memuncak, dia merasakan detik jam di dinding berdetik terlalu perlahan. Empat minit sebelum berlepas, dia sudah pun berdiri tegak di atas hamparan kain pelikat dengan beg sandang di bahu, memegang keris di tangan kanan dan gambar piramid di tangan kiri. Dua minit sebelum berlepas. Satu minit sebelum berlepas. Satu saat sebelum berlepas—dia menggerakkan ibu jari lalu menyentuh batu berwarna hijau.
Dalam sekelip mata, pemandangan bilik bacaannya lenyap, digantikan dengan hamparan padang pasir di hadapan piramid yang dilawatinya semalam. Kali ini, dia cuba mengawal emosi agar kekal tenang. Perkara pertama yang dilakukannya ialah memeriksa beg sandang serta kesemua barang yang dibawanya. Semuanya masih ada dan tidak berkurang sedikit pun—membuktikan bahawa objek fizikal turut berjaya melepasi perjalanan merentas ruang itu.
Dia memandang ke sekeliling. Cuaca pada pagi itu terasa nyaman dengan sinaran matahari yang mula meninggi, namun tidak sebahang petang semalam. Namun, apabila dia mengamati kawasan sekitar dengan lebih teliti, ada satu perubahan yang ketara.
"Dua orang penggembala dan unta itu tiada di sini!" bisiknya hairan.
Dia memandang semula gambar piramid di tangan kirinya; jelas kelihatan kelibat dua orang penggembala bersama unta mereka di dalam foto tersebut. Dia mula mencongak kemungkinan di sebalik keanehan itu.
"Mungkin aliran masa di sini selari dengan dunia realiti. Boleh jadi hari ini bukanlah hari yang sama dengan waktu gambar ini diambil. Matahari pagi ini pun belum terasa sebahang semalam."
Dia menyimpan keris dan gambar piramid itu ke dalam beg sandangnya dengan penuh berhati-hati. "Hati-hati, pastikan bahagian hulu di atas, hujung sarung di bawah," pesannya kepada diri sendiri agar tidak tersentuh batu permata secara tidak sengaja.
Dia mengeluarkan kertas A4 dan pen lalu mula mencatat pemerhatian awalnya.
Semua barang berjaya dibawa. Sinaran matahari mula meninggi, namun belum terlalu panas. Namun, dua orang penggembala itu tiada di sini.
Seterusnya, dia mengeluarkan jam tangan mekanikal dari dalam beg. Jarum jam masih bergerak lancar dan menunjukkan angka 10:05. Dia terhenti sejenak, berfikir sama ada hendak menulis waktu pagi atau malam sebelum tersenyum sendiri menyedari kekhilafan fikirannya.
"Logiklah sikit! Matahari terpacak di atas kepala ni, mestilah siang! Takkan malam pula!" Dia mencatat waktu tersebut dengan pantas: 10:05 pagi. Berdasarkan waktu berlepasnya pada pukul 10:00 pagi tadi, sekiranya aliran masa di situ benar-benar sama seperti di dunia realiti, bermakna dia telah pun berada di tanah Mesir itu selama lima minit.
Teringat akan air mineral yang dibawanya, dia membuka beg lalu mengeluarkan botol kecil tersebut. Penutupnya dipulas dan dia meneguk air itu perlahan-lahan sambil mengamati setiap deria rasanya.
Air mineral ini terasa biasa dan boleh ditelan tanpa sebarang masalah. Tiada rasa yang ganjil. Bermakna fungsi tubuh aku berjalan seperti normal di sini.
Kemudian, dia mengeluarkan senarai semak yang ditulisnya pagi tadi. Perkara pertama dan kedua sudah pun selesai. Kini tiba masanya untuk menguji kebebasan bergerak. Sebelum melangkah, dia menguis-nguis pasir di bawah tapak kasutnya untuk membuat tanda bulatan yang jelas sebagai titik asal ketibaannya.
Dia meninjau kawasan sekeliling bagi memastikan tiada sesiapa yang memerhati dari jauh. Perasaan takut dan gementar mula menyelinap ke dalam dada, namun dia berjaya mengawalnya. Dengan langkah yang cermat, dia berjalan lima langkah ke hadapan, membuat satu pusingan kecil, dan kembali semula ke titik asal. Kesemua arahan pada senarai semaknya berjaya dilakukan tanpa sebarang halangan.
Sebaik sahaja kembali berdiri di titik asal, dia teringat akan kamera yang tersimpan di dalam beg. "Eh, tadi aku bawa kamera! Cuba uji ambil gambar," katanya teruja. Dia segera menyimpan kertas dan pen ke dalam beg lalu mengeluarkan kamera lama tersebut. Punat kuasa ditekan.
"Detik penentuan. Wah, boleh hidup!" Dia mengacukan lensa ke arah piramid di hadapannya dan merakam dua keping gambar berturut-turut dengan pantas.
Namun, sebaik sahaja bunyi pengatup kamera itu berbunyi, tiba-tiba hatinya dilanda rasa gelisah—bimbang sekiranya bunyi atau kilatan cahaya kamera itu menarik perhatian penduduk tempatan atau pihak berkuasa di kawasan tersebut. Rasa risau yang semakin menebal memaksanya melupakan sahaja perkara kelima dalam senarai semaknya. Dia memutuskan untuk segera pulang.
Sebelum beredar, dia memeriksa isi begnya sepantas kilat bagi memastikan tiada satu pun barang yang tercicir. Jam tangan disarungkan ke pergelangan tangan kiri, manakala keris dikeluarkan semula dengan penuh cermat. Mengikut perancangan pada senarai semaknya, dia mengundur dua langkah ke belakang dari titik asal lalu mengerling sekilas ke arah jam tangan. Jarum menunjukkan pukul 10:15 pagi.
Ibu jarinya terus menyentuh batu permata berwarna merah pada sarung keris itu.
Dalam sekelip mata, angin padang pasir menghilang dan dia kembali berdiri tegak di atas hamparan kain pelikat di dalam bilik bacaannya. Megat menghela nafas lega yang panjang. Sebelum melabuhkan punggung, dia menunduk memeriksa pakaian dan kasutnya. Peliknya, tiada sebutir pasir atau habuk pun yang melekat atau terbawa pulang—pakaiannya kekal bersih seperti sebelum dia berlepas tadi. Dia turut memeriksa isi beg sandangnya; kesemua peralatan yang dibawa pulang berada dalam keadaan selamat.
Dia mendongak melihat jam di dinding bilik bacaan. Jarum jam menunjukkan tepat pukul 10:15 pagi—sama persis dengan waktu pada jam tangan mekanikal yang dipakainya.
"Ini bermakna, aliran masa di sini memang selari dengan waktu di sana. Jika begitu, adakah tarikhnya juga sama dengan hari ini?" soalnya sendirian.
Setelah memastikan pakaiannya benar-benar bersih, dia menanggalkan kasut, melipat kain pelikat yang dihamparkannya tadi, lalu duduk di atas kerusi ergonomiknya. Matanya tertumpu pada kamera lama yang baru sahaja dikeluarkan dari dalam beg.
"Cuba periksa kamera, ada tak gambar yang aku ambil tadi."
Dia menghidupkan skrin paparan kamera itu. Dua keping foto Kompleks Piramid Giza yang baru sahaja dirakamnya sebentar tadi terpapar jelas di dalam memori kamera tersebut. Megat tersenyum puas—barangkali, itulah satu-satunya gambar yang pernah berjaya dirakam oleh seorang pengembara masa.
