BAB 9 - DUA ARKITEK ANEH DI GIZA

Kesibukan tugas harian memaksa Megat membiarkan keris tersebut tersimpan kemas di dalam laci berkunci selama hampir empat hari selepas pengembaraan ke Melaka pada malam 9 November yang lalu. Pada malam 13 November, barulah dia berkesempatan untuk kembali semula ke bilik bacaannya.

Sambil duduk bersandar di atas kerusi sofa recliner, dia menyelak kembali Jurnal Kembara—mengimbas perbualannya dengan Daud di atas jambatan kayu Muara Sungai Melaka tentang bungkusan wang upah Hasan untuk bondanya di Pasai, sebelum jari-jemarinya terhenti pada catatan Kompleks Piramid Giza bertarikh 7 November.

Melihat kembali foto piramid di dalam kamera digital lamanya mencetuskan satu tekad baharu. Dia ingin menjejakkan kaki ke sana sekali lagi—bukan untuk melihat binaan yang sudah sempurna, melainkan mahu menyaksikan sendiri bagaimana struktur agung itu dibangunkan pada zaman pemerintahan Firaun Khufu, sekitar tahun 2560 Sebelum Masihi. Memandangkan pengalamannya ke Melaka tempoh hari membuktikan bahawa imej janaan AI boleh berfungsi sebagai pintu masuk yang sah asalkan dibina berpandukan fakta sejarah yang munasabah, Megat terus menghidupkan komputer riba untuk menyelidik dapatan arkeologi pembinaan Piramid Agung Khufu.

13 November (10.15 malam) - Prompt cadangan imej Pembinaan Piramid Agung Khufu di Dataran Giza (sekitar 2560 SM): 'Bina gambaran realistik suasana tapak pembinaan Piramid Agung Khufu di Dataran Giza pada waktu pagi sekitar tahun 2560 Sebelum Masihi berdasarkan rujukan arkeologi yang dilampirkan. Struktur piramid masih dalam proses pembinaan dengan bahagian puncaknya belum siap, dikelilingi laluan bertanjak tanah dan batu. Kelihatan ratusan pekerja Mesir purba berpakaian kain linen ringkas sedang memahat batu kapur dan menarik bongkah batu besar menggunakan peluncur kayu. Gambaran sebenar bukan ilustrasi. DSLR 18-55mm Lens. 4:3.'

Setelah menyunting perincian sehingga menghasilkan imej yang tampak nyata, dia mencetak foto tersebut untuk berlepas pada pagi esok.

Keesokan paginya, Sabtu, 14 November, selepas mengemas kini senarai semak di dalam Jurnal Kembara, Megat membentangkan kain pelikat lama sebagai alas, menyarungkan pakaian kembaranya lengkap dengan kasut Vans Old Skool hitam dan topi fedora klasik, serta menyandang beg berisi kelengkapan asas termasuk kamera digital lama dan cetakan imej Giza.

Tepat pukul 9.59 pagi, dia berdiri tegak di atas hamparan kain pelikat sambil menggenggam erat cetakan imej di tangan kiri dan hulu sarung keris di tangan kanan.

Tinggal satu saat sebelum berlepas. Ibu jarinya menyentuh batu hijau.

Dalam sekelip mata, bunyi dengungan perlahan penyaman udara di bilik bacaannya lenyap serta-merta. Udara panas dan kering padang pasir menyambut ketibaannya di Dataran Giza, disertai bau debu batu kapur yang berterbangan di udara.

Tak sangka imej janaan ni pun menjadi! 

Di hadapannya, sebuah binaan batu kapur yang luar biasa besarnya menjulang tinggi ke langit biru tanpa awan. Bahagian atas piramid itu masih belum siap sepenuhnya, menampakkan susunan bertingkat bongkah-bongkah batu yang dikelilingi laluan bertanjak tanah dan batu. Ratusan pekerja sibuk bergerak di sekitar tapak pembinaan yang luas itu.

"Biar betul... besarnya!" bisik Megat. Namun, kegirangannya terhenti seketika apabila terlintas satu persoalan yang meragukan di benaknya. Bagaimana jika suasana di hadapannya ini bukanlah masa lampau yang sebenar, melainkan sekadar simulasi yang dijana oleh keris itu berdasarkan imej rekaannya tadi? Megat menggeleng perlahan, cuba mengusir jauh-jauh andaian tersebut daripada terus mengganggu fokusnya. Tanpa berlengah, dia membuka zip beg sandangnya dan mengeluarkan kamera digital. Jangan ulang kesilapan masa kat Melaka pagi hari tu. Khayal sangat tengok sana-sini sampai lupa nak ambil gambar.

Klik! Klik! Dia merakam beberapa keping foto dari sudut yang luas.

Tidak jauh di hadapannya, berpuluh-puluh lelaki bertubuh tegap berpakaian kain linen ringkas sedang menarik tali tebal yang terikat pada sebuah peluncur kayu bermuatan bongkah batu gergasi. Megat melangkah mendekati kumpulan itu untuk melihat dengan lebih jelas, namun seorang lelaki yang kelihatan seperti penyelia—memakai kain linen putih yang kemas dengan sebatang tongkat di tangan—menoleh dan menegurnya dengan nada tegas.

"Ḫꜣ...!" Lelaki itu menyambung beberapa patah perkataan dalam bahasa yang langsung tidak difahami oleh Megat.

Megat terpinga-pinga di tempatnya.

Penyelia itu mengerutkan dahi, menunjuk ke arah laluan batu di hadapan peluncur sambil mengisyaratkan Megat supaya berundur.

"Oh, kena ke tepi?" Megat segera mengangguk dan berundur beberapa langkah. Inilah masalah bila tak tahu bahasa orang.

Dia berjalan menjauhi laluan utama tersebut dan mencari tempat teduh berhampiran dinding bangunan bata lumpur. Semasa membongkokkan tubuhnya untuk berehat seketika di atas seketul batu, keris yang disimpannya di dalam beg sandang tiba-tiba tergelincir keluar lalu jatuh terhempas ke atas pasir.

"Alamak! Nasib baik tak rosak!"

Rupa-rupanya dia terlupa menutup zip beg sandangnya selepas mengeluarkan kamera tadi. Dengan pantas dia mencapai keris tersebut dan meniup pasir halus yang melekat pada sarungnya. Tanpa disedari, jari telunjuk kanannya tertekan tepat pada batu kuning yang bertatah di bahagian hulu sarung keris itu. Sekilas, terasa satu denyutan halus mengalir di hujung jarinya—namun sensasi itu berlalu begitu singkat sehingga Megat menganggapnya sekadar renjatan saraf biasa akibat terlalu tergesa-gesa. 

Jantungnya berdegup kencang. Dia segera mengalihkan jarinya, bimbang kalau-kalau batu kuning itu menghantarnya ke tempat lain tanpa gambar rujukan ataupun mendatangkan mudarat. Namun, beberapa saat berlalu dan suasana di sekelilingnya kekal seperti sediakala.

Fuh... nasib baik tak jadi apa-apa.

Ketika dia memasukkan keris itu semula ke dalam beg dan menutup zipnya dengan kemas, telinganya menangkap perbualan dua orang pekerja yang sedang berehat tidak jauh dari situ.

"Bekalan batu kapur halus dari Tura belum tiba sepenuhnya," kata salah seorang daripada mereka.

"Kalau begitu, penyelia bahagian pelapisan luar pasti akan bising lagi petang nanti," balas rakannya sambil mengesat peluh di dahi.

Megat tersentak. Matanya membulat memandang kedua-dua lelaki Mesir purba itu.

Eh? Macam mana aku boleh faham apa yang diorang cakap!

Megat segera melangkah menghampiri mereka dengan penuh teruja. "Tumpang tanya, laluan mana yang paling sesuai kalau saya mahu melihat pembinaan di bahagian atas dengan lebih dekat?"

Salah seorang pekerja itu menoleh dan menunjuk ke arah laluan berbatu di sebelah timur. "Ikut sahaja jalan di tepi bongkah-bongkah itu. Tetapi berhati-hati, jangan menghalang laluan penarik batu."

"Terima kasih!" balas Megat lancar.

Dia menepuk perlahan beg sandangnya sambil tersenyum lebar. Batu kuning! Rupanya itulah fungsi kau.

Dengan keyakinan yang baharu, Megat menyusuri laluan tersebut. Ketika melintasi timbunan bongkah batu kapur, pandangannya tertumpu kepada dua susuk tubuh yang kelihatan sangat ganjil berbanding ratusan pekerja lain.

Susuk yang pertama bertubuh kecil dan agak bulat, berkulit kelabu kebiruan dengan sepasang mata hijau terang serta senyuman ceria. Susuk di sebelahnya pula sangat tinggi dan kurus, berkulit rona yang sama, bermata keemasan yang tajam dengan riak wajah yang begitu serius. Kedua-duanya mengenakan pakaian kain linen putih serta perhiasan emas gaya bangsawan Mesir purba, tanpa sebarang penutup kepala.

Megat memperlahankan langkahnya, namun teringat akan pesanan kelima lembaga hitam agar sentiasa menjaga adab di tempat orang, dia memberanikan diri menghampiri mereka.

"Selamat pagi!" sapa Megat ramah.

Makhluk bertubuh kecil itu segera menoleh, matanya membulat teruja melihat pakaian moden Megat. "Selamat pagi! Wah, seorang pengembara!"

Megat tersenyum kecil. "Bagaimana kamu tahu?"

"Sebab kamu berjalan sambil mendongak melihat ke seluruh penjuru! Orang yang bekerja di sini biasanya hanya menunduk melihat batu dan tali pengukur sahaja," jawabnya riang.

Megat ketawa kecil mendengar jawapan yang masuk akal itu. "Saya Megat. Kamu berdua pula siapa?"

"Aku Benu! Dan ini sahabatku, Khemet," ujar makhluk kecil itu sambil menepuk perlahan lengan rakannya yang tinggi lampai. Khemet hanya mengangguk sedikit tanpa mengubah riak wajahnya yang serius.

"Kamu berdua buat apa di tapak pembinaan ini?" soal Megat ingin tahu.

"Kami arkitek piramid ini!" jawab Benu dengan nada bangga sambil mendabik dada.

"Sebahagian daripada pasukan arkitek dan juruukur," jelas Khemet dengan suara yang dalam namun tenang, membetulkan kenyataan sahabatnya itu.

"Wah! Kalau begitu, kamu berdua tentu tahu bagaimana binaan raksasa ini dirancang dan dibina?"

"Ya," jawab Khemet sepatah.

"Boleh ceritakan kepada saya?"

"Boleh."

Megat berdiri menunggu, namun Khemet sekadar memandangnya tanpa menyambung walau sepatah perkataan pun. Benu terus ketawa kecil melihat keadaan itu.

"Khemet! Dia mahu kamu bercerita dengan panjang lebar, bukan sekadar menjawab soalan!" tegur Benu.

"Dia bertanya sama ada aku boleh bercerita. Aku sudah menjawabnya dengan tepat," balas Khemet bersahaja.

Megat tidak dapat menahan diri daripada turut ketawa.

Sedang mereka berbual, mata Benu tertancap pada kamera digital yang tergantung di dada Megat.

"Wah! Kamera! Boleh aku lihat?" tanya Benu penuh minat.

Megat sedikit terkejut. "Kamu tahu tentang kamera?"

"Tentulah! Aku sudah bertemu ramai pengembara dari pelbagai zaman sebelum ini. Ada yang membawa kamera menggunakan plat kaca besar, ada yang mengeluarkan kepingan gambar serta-merta, malah ada juga yang membawa alat yang boleh terbang di udara!"

"Yang terbang itu namanya drone," terang Megat.

"Ya, betul! Aku pernah meminta untuk menumpangnya kerana mahu melihat puncak piramid dari atas, tetapi pengembaranya tidak membenarkan."

Khemet menyampuk dengan nada mendatar, "Kerana berat badan kamu melebihi had muatan yang mampu diangkat oleh alat tersebut."

"Aku cuma mahu melihat pemandangan dari atas!" protes Benu.

"Kamu boleh memanjatnya."

"Tinggi sangat!"

"Kalau begitu, jangan memanjat."

Benu kemudian meminta Megat merakamkan gambarnya di hadapan latar piramid sebelum mengajak Khemet bergambar swafoto bertiga.

"Aku sedang memantau sudut kecerunan tapak," tolak Khemet.

"Sekejap sahaja!"

Akhirnya Khemet akur. Megat mengacukan lensa kamera ke arah mereka bertiga sebelum menekan punat rakaman. Benu tersenyum lebar, Megat mengangkat ibu jari, manakala Khemet kekal dengan wajah seriusnya.

Benu menjenguk ke skrin kecil di belakang kamera Megat. "Khemet, kenapa wajah kamu kelihatan seperti orang sedang marah?"

"Aku tidak marah."

"Aku sudah senyum."

Megat memerhatikan semula gambar pada skrin kamera itu dengan dahi berkerut. "Di bahagian mana senyumnya?"

"Di dalam hati," jawab Khemet tenang.

Sekali lagi tawa Benu dan Megat pecah di tengah-tengah hiruk-pikuk tapak pembinaan itu.

Selepas itu, mereka bertiga berjalan mengelilingi tapak pembinaan sambil berbual. Khemet menerangkan secara ringkas beberapa aspek kejuruteraan asas—daripada ketepatan ukuran menggunakan alat pelambap, binaan laluan bertanjak tanah untuk menaikkan bongkah batu seberat beberapa tan, hinggalah kaedah menyiram air di hadapan peluncur kayu bagi mengurangkan geseran pasir—di samping menjelaskan bahawa ribuan pekerja di situ bukanlah hamba yang dipaksa, sebaliknya terdiri daripada tukang mahir sepenuh masa dan tenaga kerja rakyat bergilir yang menerima catuan makanan, tempat tinggal, serta rawatan perubatan yang terjamin.

Tidak lama kemudian, mereka melangkah naik ke sebuah kawasan berbatu yang agak tinggi di pinggir dataran untuk berehat dan memandang keseluruhan struktur piramid dari jauh.

Benu melabuhkan punggungnya di atas seketul batu sambil mendongak memandang struktur raksasa tersebut. "Megat, pada zaman kamu, adakah piramid ini masih berdiri?"

"Masih," jawab Megat sambil mengangguk kagum. "Walaupun sudah lebih empat ribu tahun berlalu, ia tetap berdiri megah."

Benu terdiam seketika, matanya bersinar-sinar. "Empat ribu tahun... Hebat juga hasil kerja kita, ya Khemet?"

Khemet menjawab dengan nada rendah hati, "Yang hebatnya ialah ribuan pekerja yang membinanya dengan keringat dan tulang empat kerat mereka."

"Malah," sambung Megat, "manusia pada zaman saya masih terus mengkaji bagaimana kamu semua mampu membinanya dengan ketepatan yang begitu luar biasa."

Khemet mengangguk kecil. "Baguslah. Itu bermakna manusia pada zaman kamu masih mempunyai keinginan untuk terus belajar."

Megat mengerling jam tangan mekanikalnya yang hampir menunjukkan pukul 3.00 petang—hampir lima jam sudah dia berada di Mesir purba, rekod tempoh pengembaraan paling lama setakat ini.

"Sudah hampir pukul tiga petang. Saya perlu pulang ke zaman saya sekarang," ujar Megat.

Benu segera bangun dan memeluk Megat dengan mesra. "Datanglah lagi suatu hari nanti! Jangan lupa bawa kamera yang boleh terbang itu sekali!"

Khemet pula melangkah ke hadapan dan bersalaman dengan Megat. "Selamat meneruskan pengembaraan, Megat."

Ketika Megat baru sahaja hendak menyeluk beg sandangnya, Benu tiba-tiba bersuara, "Khemet! Kamu tidak mahu memberikan pesanan terakhir kepada sahabat baharu kita ini?"

Khemet memandang tepat ke dalam anak mata Megat dengan wajah seriusnya. "Jangan sesekali hilangkan keris kamu."

Megat tersenyum. "Mengapa?"

"Kerana tanpa keris itu, kamu tidak akan dapat pulang ke tempat asal kamu."

Benu menggeleng-gelengkan kepala sambil ketawa. "Sungguh menyentuh hati nasihat kamu itu, Khemet!"

Megat turut tersenyum sambil mengeluarkan kerisnya dari dalam beg sandang. Dia berdiri tegak, menggenggam hulu keris dengan tangan kanan, lalu menggerakkan ibu jarinya menyentuh batu merah.

Sebelum pemandangan padang pasir itu berputar dan lenyap, dia sempat melihat Benu melambai-lambai penuh semangat manakala Khemet mengangguk kecil.

Dalam sekelip mata, bahang matahari padang pasir hilang dan dia kembali berdiri di atas hamparan kain pelikat di dalam bilik bacaannya yang dingin pada tepat pukul 3.00 petang. Setelah menyimpan kerisnya ke dalam kotak kayu dan menguncinya di dalam laci, dia duduk di atas kerusi ergonomik lalu menghidupkan skrin kamera digitalnya. Gambar swafoto mereka bertiga terpapar jelas.

Megat tersenyum sendirian. "Dua arkitek paling pelik yang pernah aku jumpa."

Dia memandang ke arah laci meja yang berkunci itu. Kini, fungsi tiga daripada empat butir batu permata pada sarung kerisnya sudah pun terungkai—hanya tinggal sebutir lagi batu hitam di hujung baris yang masih menyimpan seribu satu misteri. Tanpa berlengah, dia menarik Jurnal Kembara dan mula mencatatkan segala pengalaman luar biasanya hari ini sebelum satu pun butiran itu luput daripada ingatan.